PADA 13 Disember baru-baru ini, saya berkesempatan untuk bersama-sama ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai kaum yang memagari sepanjang jalan di antara Istana Negeri, Kubang Kerian dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sempena keberangkatan Sultan Muhammad V ke Istana Negara, Kuala Lumpur untuk dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Rakyat jelata sudah mula berkumpul seawal 6.30 pagi sesudah menunaikan solat Subuh, ada yang bertolak dari Pasir Putih jam 4 pagi lagi untuk mengucapkan selamat berangkat kepada baginda.
Ada yang membawa seluruh ahli keluarga bersama; isteri dan anak-anak yang masih kecil, termasuk bayi yang baru berusia beberapa bulan. Ramai juga rakyat berketurunan Tionghoa membanjiri jalan terutamanya di sekitar Taman Uda; ada yang mempersembahkan tarian singa.
Begitu juga rakyat keturunan India dan Siam yang begitu teruja menunggu di sepanjang jalan. Suasana pada pagi itu sekali lagi menunjukkan betapa rakyat Kelantan pelbagai kaum, tidak kira usia, begitu menyayangi sultan mereka.
Sultan Muhammad V sememangnya disanjung rakyat Kelantan, khususnya, kerana peribadi baginda yang berjiwa rakyat. Baginda sangat mengutamakan agama Islam dalam segala hal.
Baginda sering melawat rakyat malah turut sama melakukan kerja-kerja pembersihan bersama rakyat sekiranya berkelapangan. Siapa tidak berasa bangga mempunyai seorang sultan seperti Sultan Muhammad V.
Menurut Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Sultan Muhammad V begitu menitikberatkan amalan agama dalam kehidupan baginda. Baginda juga memuliakan ilmuwan agama sejak muda lagi.
Menurut Datuk Mufti lagi, Sultan Muhammad V juga kebiasaannya menjemput seorang guru al-Quran untuk menemani baginda di sepanjang perjalanannya termasuk ketika berkunjung ke Eropah bagi memastikan baginda tidak terlepas solat berjemaah.
Rakyat Kelantan juga sudah biasa melihat baginda memandu sendiri kereta ke masjid untuk solat berjemaah. Baginda juga rajin mengimamkan solat. Dengan berpakaian sederhana, sama ada berjubah atau berbaju Melayu serta kain pelekat dan berkopiah putih, baginda pernah dilihat duduk di tangga masjid dan makan menggunakan tangan; tiada pengawal peribadi, hanya dikelilingi ahli jemaah masjid.
Pada 26 Ramadan 1437H bersamaan 1 Julai 2016, saya berkesempatan membawa anak lelaki untuk sama-sama menyertai program Qiam With Me di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, satu program bersama sultan yang diadakan setiap penghujung Ramadan sejak 2011.
Bagi anak saya, ia satu pengalaman yang akan diingat sampai bila-bila. Bukan sahaja berpeluang bersalaman dengan sultan dan Tengku Mahkota Kelantan tetapi melihat sendiri kemesraan baginda dengan rakyat jelata.
Mana nak cari sultan yang membahasakan dirinya sebagai 'ambo' dengan rakyatnya? Mana lagi nak cari sultan yang memandu sendiri kereta untuk menunaikan solat berjemaah di masjid bersama rakyatnya? Mana nak cari sultan yang mencemar duli dengan turut sama membantu menggali kubur bagi rakyatnya yang telah meninggal dunia?
Baginda juga menukar ungkapan 'Daulat Tuanku' yang sering disebut semasa majlis rasmi yang melibatkan sultan dengan ucapan 'Allahuakbar'. Menurut baginda, “laungan ditukar kepada Allahuakbar supaya rakyat yang mengucapkannya akan mendapat pahala”. Kini baginda mempraktikkan amalan yang sama di Istana Negara.
Tidak hairanlah mengapa Sultan Muhammad V begitu disanjung tinggi oleh segenap lapisan rakyat Kelantan. Tidak perlu untuk membuat kerahan apabila berbondong-bondong rakyat jelata dengan sendirinya menghadirkan diri di tepi jalan semata-mata untuk mengucapkan selamat jalan kepada baginda sultan, mengiringi keberangkatan baginda ke Istana Negara untuk menunaikan tugas sebagai Ketua Negara.
Sultan Muhammad V telah menunjukkan bahawa baginda mampu menjadi seorang pemimpin yang baik dengan menjadi imam kepada rakyatnya ketika solat. Baginda berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Ketua Agama Islam Negeri dengan keperibadian yang Islamik ketika memerintah Kelantan.
Sebagai anak jati Kelantan dan rakyat Malaysia, kami mendoakan baginda Sultan Muhammad V terus melakukan tanggungjawab yang sama sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Allahuakbar. Daulat Tuanku!
[ SUMBER ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan