Selasa, 18 Oktober 2016

ruu 355 melalaikan umat islam

BEBERAPA ustaz mewajibkan sokongan terhadap RUU 355. Haram tidak sokong seolah-olah menyamakan hasil usaha manusia RUU 355 dengan wahyu, seolah-olah RUU 355 adalah Islam. Saya risau pengkafiran akan dibudayakan nanti bila ‘fatwa’ sebegini diterima bulat-bulat. Ayat “umat Islam kita mudah keliru” selalu dijadikan alasan untuk menghalalkan sesuatu fatwa seperti isu penggunaan kalimah ALLAH oleh Kristian. Kalaulah umat Islam begitu mudah dikelirukan, fatwa mewajibkan sokongan terhadap RUU 355 pasti akan mengelirukan lagi umat Islam tentang konsep kafir.
Saya juga lihat wujud budaya agamawan untuk mengeluarkan hukum berdasarkan dua alternatif sahaja iaitu kalau tak wajib, jadilah haram. Kalau tak haram, jadilah wajib. Penggunaan perkataan ‘Islamik’ pun perangkap minda kita untuk hadkan alternatif kepada dua sahaja iaitu sama ada Islamik atau tidak Islamik.
Mengapa tidak harus atau mubah, makruh dan sunat? Bahkan ada mazhab yang bezakan antara fardu dan wajib. Makruh dan sunat sendiri pun ada beberapa tingkatan. Mengapa begitu mudah hukum sesuatu perkara sebagai haram terus atau sebaliknya? Umat Islam dilalaikan daripada berfikir panjang lebih dari dua alternatif.
Saya juga risau dengan agamawan sendiri yang semakin lalai dengan budaya viral. Apa-apa isu yang dapat viralkan usaha sesuatu parti politik atau jemaah agama, maka isu ini patut diketengahkan. Apa yang utama ialah apa yang viral. Yang tidak viral adalah tidak utama. Mengapa Pas utamakan RUU 355 sekarang ini dan tidak viralkan isu kebersihan di Kelantan sedangkan salah satu azab kubur sebelum ke padang mahsyar ialah kegagalan menjaga kebersihan tandas? Kebersihan begitu diutamakan dalam Islam sehingga seseorang akan diazab dulu di kubur sebelum dibicarakan di padang mahsyar jika tidak menjaga kencingnya.
Rasuah peringkat atasan sudah kronik, mengapa tidak viralkan isu bagaimana syariah menghapuskan rasuah? Adakah pindaan RUU 355 yang meluaskan kuasa mahkamah syariah cukup luas sehingga mampu menghapuskan rasuah peringkat atasan? Atau pindaan RUU 355 hanya akan menghukum rakyat biasa yang tidak mampu merasuah bila ditangkap khalwat di hotel murah?
Bagi saya, yang lebih utama ditonjolkan sekarang ialah isu rasuah dan isu konsistensi dalam wacana agamawan. Wacana agamawan semakin tidak konsisten dan bila ini berlaku atas nama Islam, maruah Islam tercemar. Maruah Islam tidak tercemar bila umat Islam pegang anjing, tetapi akan tercemar teruk bila agamawan peringkat atasan sendiri menggunakan nama Islam untuk menghasilkan wacana-wacana kononnya  ‘Islamik’ tapi tidak konsisten.
Contohnya, kita kata Islam itu rahmat tetapi kita utamakan RUU 355 kerana undang-undang syariah yang ada sekarang dikatakan “tidak menggerunkan”. Sekejap kita kata Islam itu penyayang dan pemaaf tapi sekejap lagi kita kata Islam itu patut menggerunkan. Kemudian kita salahkan mualaf bukan Muslim kerana Islamofobia dan sengaja buat Islam nampak gerun! Sebenarnya siapa yang merancang agar Islam itu nampak gerun?
Kita kata Islam itu agama kemanusiaan tetapi kita yang viralkan isu hudud dan RUU 355 seolah-olah Islam itu lebih cenderung untuk menghukum daripada membela hak-hak kemanusiaan seperti hak ibu tunggal, hak mendapat pendidikan tinggi yang percuma. Islam lebih diviralkan sebagai agama hukuman daripada agama kemanusiaan.
Sekejap kita kata RUU 355 tiada kaitan dengan hudud, dan sekejap lagi kita kata RUU 355 tiada kaitan dengan hudud “sepenuhnya” dan sekejap lagi kita kata siapa tak sokong RUU 355, maka dia menentang hukum syariah. Kalau RUU 355 tiada kaitan dengan hudud, mengapa wajib menyokongnya?
Ayah saya, Allahyarham Tun Rahman Ya’kub, adalah menteri yang pertama membawa dan membentangkan RUU 355 pada tahun 1965 dan diluluskan Parlimen. Ayah saya juga menteri pertama yang bersungguh-sungguh melaksanakan usaha-usaha dakwah di Sarawak secara sistematik dengan mengasaskan BINA, menaikkan taraf ijazah agama supaya setaraf dengan ijazah-ijazah Barat.
Kita perlu menilai kembali RUU 355 dalam konteks awlawiyat sekarang. Jangan sokong atau menolak buta tuli sehingga lalai membela maruah Islam.

                                               [  SUMBER KANDUNGAN ]


1 ulasan:

powertrain1648 berkata...

Halal atau haram mesti dgn ilmu dan nas...bkn pakai otak..sebab otak terbatas dlm tempurung saja. Selebih terpulang...nak sokong kau betul...xnak sokong pun kau betul. Tiada paksaan.

So klu kau rasa kau lebih betul...amik mike duduk depan...keluar nas kau...lawan secara ilmiah..bkn secara emosi.