Sabtu, 1 Oktober 2011

Kisah Kampong Jenderam pula - golongan kiri

Gerakan Politik Kiri di Kampung Jenderam


Dr. Mohamed Salleh Lamry


Gerakan politik kiri di kampung Jenderam menarik untuk dikaji dan difahami, kerana secara perbandingan, kampung Jenderam adalah salah satu pusat atau kubu gerakan politik kiri yang terkuat, bukan saja pada peringkat daerah Hulu Langat, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor.

Sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi, di samping beberapa faktor yang umum bagi seluruh daerah Hulu Langat, diperkirakan ada faktor khsusus yang mempengaruhi kemunculan dan perkembangan gerakan politik kiri di kampung Jenderam, iaitu pengaruh dari Indonesia. Pengaruh dari Indonesia ini boleh dilihat dalam empat perkara yang berikut:

Pertama, kampung Jenderam dibuka antara tahun 1909-1910 oleh orang-orang keturunan Minangkabau yang berasal dari kampung Beranang, Hulu Langat. Selepas itu orang-orang keturunan Minangkabau dari kampung lain di daerah Hulu Langat dan dari Minangkabau, Sumatera Barat turut berhijrah ke kampung itu, sehingga akhirnya lebih 90% penduduk kampung itu terdiri daripada orang-orang keturunan Minangkabau.

Sehingga Perang Dunia Kedua (1941-1945), penduduk kampung Jenderam masih mempunyai hubungan yang rapat dengan "alam Minangkabau" yang merupakan tempat asal ibu bapa mereka atau tempat asal mereka sendiri. Salah satu cara mereka mengekalkan hubungan itu adalah dengan berkunjung atau pulang ke Minangkabau. Satu cara lagi adalah dengan menghantar anak mereka belajar ke Minangkabau.

Kedua,
pada tahun 1922 Haji Jalaluddin Ismail, seorang guru agama dari Minangkabau telah datang ke kampung Jenderam, lalu mendirikan sebuah sekolah agama yang diberi nama Madrasatul-Ubudiah. Kedatangan beliau diikuti oleh beberapa orang guru agama lain dari Minangkabau. Haji Jalaluddin adalah seorang ulama "kaum Muda" yang dipengaruhi oleh gerakan pembaharuan agama di Timur Tengah. Jadi kedatangannya turut membawa fahaman kaum muda ke kampung itu.

Ketiga, bekas penuntut Madrasatul-Ubudiah ramai yang melanjutkan pelajaran ke sekolah agama terkenal di Minangkabau, seperti Sekolah-sekolah Diniah dan Thawalib. Sebahagian daripada mereka dilantik menjadi guru sekolah itu apabila balik ke kampung Jenderam, dan turut menyebarkan fahaman kaum muda di kalangan murid dan keluarga mereka. Dengan itu, fahaman kaum muda yang berasal dari Minangkabau itu akhirnya menjadi pegangan umum penduduk kampung Jenderam.

Keempat, anak penduduk kampung Jenderam yang belajar di Minangkabau bukan saja terdedah kepada cara pembelajaran yang baru, yang dikendalikan oleh ulama kaum muda, tetapi juga terlibat dengan gerakan politik. Misalnya pelajar yang belajar di Sekolah Thawalib terlibat dengan Parti Sarekat Islam yang berpusat di Jawa. Di samping itu, ada juga yang belajar politik secara khusus. Misalnya, Abu Bakar Jali yang kemudiannya menjadi Ketua PKMM Jenderam pernah mengikuti kursus politik yang dianjurkan oleh PERMI (Persatuan Mahasiswa Islam) yang mengadakan sekolah politik di Bukit Tinggi. Gurunya ialah Muchtar Lutfi, tokoh politik dari Minangkabau yang pernah belajar di Mesir (Mohd. Nor 1977/78:38-39). Oleh itu, mereka telah terdedah kepada idea anti kolonial, mempunyai pandangan dan pemikiran yang dinamis dan progresif, dan mudah menyokong gerakan politik yang berjuang untuk kemerdekaan di samping membawa fahaman kaum muda, apabila mereka kembali ke tanah air.

Oleh yang demikian, beberapa aspek gerakan politik kiri yang muncul di kampung Jenderam boleh dihuraikan dengan ringkas seperti di bawah ini.

Penglibatan dengan KMM

Gerakan politik kiri boleh dianggap bermula di kampung Jenderam tidak lama setelah KMM ditubuhkan pada tahun 1938 dengan penyertaan penduduk kampung Jenderam dalam organisasi itu. Bentuk penyertaan mereka yang utama adalah dengan menjadi ahli KMM. Meskipun jumlah mereka tidak dapat dipastikan, tetapi sebahagian anak penduduk kampung Jenderam yang pernah belajar di Minangkabau adalah antara orang yang menjadi ahli gerakan itu. Salah seorang daripada mereka ialah Bakar Jali yang dianggap sebagai Ketua KMM Kampung Jenderam (Mohd.Nor Md.Amin 1977/78:40).

Penglibatan dengan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM) dan Revolusi Indonesia.

Selepas Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945, sebuah organisasi yang dinamakan PIM telah ditubuhkan di Malaya dengan tujuan untuk menyalurkan bantuan material ke Indonesia. Sebagai orang-orang yang bersemangat patriotik dan anti kolonial, penduduk kampung Jenderam tidak mahu ketinggalan daripada memberi sumbangan kepada saudara mara mereka di Indonesia. Oleh itu, sebuah cawangan PIM telah ditubuhkan di kampung Jenderam dengan dipimpin oleh Abu Bakar Jali. Antara aktiviti yang mereka jalankan adalah memungut wang dan pakaian lama untuk dihantar ke Indonesia melalui ibu pejabat PIM di Kuala Lumpur.

Apabila revolusi Indonesia meletus tidak lama selepas itu, kira-kria 10 orang penduduk kampung Jenderam telah pergi ke Sumatera untuk berbakti kepada Indonesia yang masih mereka anggap sebagai "ibu pertiwi" mereka. Kepergian mereka dengan hanya menaiki sampan direstui dan dibiayai bersama oleh seluruh penduduk kampung Jenderam dan dianggap sebagai wakil seluruh penduduk kampung tersebut. Di Indonesia pada mulanya mereka menyertai pasukan tentera rakyat, kemudian diserapkan ke dalam Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang ditubuhkan pada tahun 1946 (Mohd. Nor Mohd.Amin 1977/78: 41-42).

Penubuhan Cawangan PKMM dan Badan Gabungannya

Di samping memberi bantuan kepada saudara mara mereka di Indonesia dan melibatkan diri dengan revolusi Indonesia, penduduk kampung Jenderam tidak mahu mengasingkan diri dari gerakan politik di Malaya sendiri. Oleh itu, apabila PKMM ditubuhkan pada akhir tahun 1945, mereka dengan cepat melibatkan diri dengan gerakan itu. Dengan dipelopori oleh Bakar Jali dan beberapa orang kawannya yang pernah menjadi ahli KMM, sebuah cawangan PKMM telah ditubuhkan di kampung Jenderam pada awal tahun 1946.

Apabila badan gabungan PKMM, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BATAS) ditubuhkan tidak lama selepas itu, penduduk kampung Jenderam juga tidak ketinggalan daripada melibatkan diri dengan semua gerakan itu. Ini bererti pada masa itu hampir seluruh penduduk kampung Jenderam, lelaki dan perempuan, telah melibatkan diri dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun, menarik juga diperhatikan bahawa pada masa itu tidak ada kepimpinan yang berasingan bagi menerajui PKMM, API, dan BATAS kampung Jenderam. Sebaliknya, semua pemimpin PKMM merangkap sebagai pemimpin API dan BATAS. Barisan kepimpinan ketiga-tiga organisasi itu adalah seperti berikut:

Ketua 1: Bakar bin Jali
Setiausaha: Ustaz Haji Hashim
Ahli Jawatankuasa: Osman bin Binu, Jani bin Sudin, Ustaz Talib Nor, Abdul Latif bin Arshad, Mohd.Sharif bin Jamek

Mengenai jawatankuasa AWAS kampung Jenderam pula, nama mereka adalah seperti berikut:

Ketua 1: Fatimah bintiHaji Kassim
Setiausaha: Rosnah binti Mien
Bendahari: Mariam bintiJaafar
Ahli Jawatankuasa: Zaharah binti Hamid, Hindon binti Tahir, Zaharah binti Kassim

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, beberapa orang pemimpin dari kampung Jenderam, seperti Bakar Jali dan semua pemimpin AWAS bukan saja menjadi pemimpin pada peringkat kampung itu, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan dan peranan pemimpin gerakan kiri dari kampung Jenderam dan memang selaras dengan kedudukan kampung Jenderam sebagai salah sebuah kubu gerakan kiri di Selangor.

Penglibatan dalam Perang Gerila

Penglibatan penduduk kampung Jenderam dengan perang gerila yang diterajui oleh Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap penjajah Inggeris wajar dihuraikan di sini, kerana ia merupakan satu episod penting dalam sejarah perjuangan penduduk kampung Jenderam, malah itulah satu cara yang terbuka bagi orang-orang nasionalis kiri untuk meneruskan perjuangan mencapai kemerdekaan.

Selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, kampung Jenderam sebagai salah sebuah pusat atau kubu gerakan nasionalis kiri menjadi tumpuan pihak polis yang bertindak menangkap orang-orang yang menjadi pemimpin dan aktivis gerakan itu. Oleh itu, sepanjang tahun 1948 dan awal 1949 ada 16 orang penduduk kampung Jenderam yang telah ditangkap, sama ada kerana tidak sempat melarikan diri atau tidak mahu berbuat demikian. Di samping itu,sekurang-kurangnya ada lima orang yang telah melarikan diri ke Indonesia dan tidak balik semula ke negara ini (Mohd.Nor 1977/78: 58-60).

Namun, mengikut maklumat yang diperolehi oleh Mohd. Nor Mohd.Amin (1977/1978:58-60), sekurang-kurangnya ada 18 orang penduduk kampung Jenderam yang lebih rela masuk ke hutan dan menggabungkan diri dengan tentera PKM daripada membiarkan diri mereka ditangkap dan dijadikan tahanan politik. Mereka ialah:

1. Bakar bin Jali
2. Azman bin Haji Nordin
3. Hamid bin Tahir
4. Yaakob bin Mohd.Ali
5. Alias bin Siu
6. Mohamd Akib bin Kassim
7. Manaf bin Pisah
8. Ismail bin Manan
9. Yunus bin Buyung
10. Ismail bin Mohd.Sharif
11. Mohd.Zainbin Haji Kassim
12. Tajuddin bin Mahat
13. Yunus bin Abu
14. Abdul Malik bin Kabut
15. Sulaiman bin Haji Said
16. Malik bin Haji Bor
17. Manan bin Abdul Latif
Karim bin Sulaiman

Golongan 18 orang ini tidak mahu ditangkap dan dijadikan tahanan politik, dan dengan itu perlu mencari alternatif untuk meneruskan perjuangan mereka. Dari awal lagi mereka sudah melihat bahawa perjuangan bersenjata adalah jalan yang perlu mereka tempuh untuk meneruskan perjuangan mereka. Timbulnya persepsi yang demikian sekurang-kurangnya kerana dua faktor utama. Pertama, semasa melibatkan diri dengan API, mereka telah diorientasikan untuk berjuang secara bersenjata berdasarkan slogan API, "Merdeka dengan Darah." Kedua, sebagai orang-orang yang masih merasa dekat dengan perjuangan kemerdekaan di Indonesia, mereka juga melihat bahawa perjuangan secara revolusi atau perjuangan bersenjata adalah satu cara perjuangan yang boleh dijadikan contoh.

Walau bagaimanapun, pada masa itu mereka sebenarnya dalam keadaan ketiadaan pimpinan dan arahan. API dan PETA telah diharamkan. Ahmad Boestamam, bekas pemimpin API telah ditahan, manakala Wahi Anuar bekas pemimpin PETA telah masuk ke hutan di Temerloh, Pahang. Pemimpin utama PKMM, kecuali penasihatnya Dr.Burhanuddin telah ditahan. Dr.Burhanuddin pula tidak membuat apa-apa hubungan lagi dengan mereka. Oleh itu, pada mulanya mereka hanya bersembunyi dan bergerak secara sulit di sekitar kampung mereka dan belum ada hubungan secara langsung dengan PKM. Aktiviti mereka juga terbatas kepada mengadakan pertemuan dan perbincangan sesama sendiri.

Namun, kira-kira tiga atau empat bulan kemudian, mereka telah dihubungi oleh utusan PKM yang mempelawa mereka supaya menyertai perang gerila yang dilancarkan oleh parti itu. Mereka menerima pelawaan PKM, kerana ketika itu hanya itulah jalan yang boleh mereka pilih jika mereka mahu meneruskan perjuangan mereka... (Bahagian kedua, bersambung)
*Bahagian kedua kertas kerja berjudul "Gerakan politik kiri di Hulu Langat, 1946-1948", tulisan Dr. Mohamed Salleh Lamry (gambar kanan). Kertas kerja ini telah "ditolak" daripada dibentangkan dalam satu seminar "Sejarah Daerah Hulu Langat", anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS), selepas berlakunya "isu Mat Sabu".

Di petik dari wrlr.blogspot.com/2011/09/gerakan-politik-kiri-di-kampung

1 ulasan:

JOURNEYMAN berkata...

Assalamualaikum dan Salam Persaudaraan,

Sememangnya blog ini mempunyai kualiti yang tersendiri dengan isu2 panas dan pandangan yang bernas dari pihak anda.

Mohon kerjasama dan jasa baik pihak anda agar dapat linkkan blog saya agar isu2 semasa politik tanah air dapat dikongsi bersama pembaca blog anda.

Saya juga telah linkkan blog anda agar isu2 dan paparan dari blog ini dapat dikongsi bersama.

Sekian, Salam Perkenalan dari saya,

JOURNEYMAN
http://journeyisman.blogspot.com/